Ed Sheeran mungkin batal Konsert Jelajah Asia
Amirul Awaludin
Oktober 17, 2017 17:20 MYT
Oktober 17, 2017 17:20 MYT
Penyanyi dan penulis lagu British, Ed Sheeran memberitahu beliau berkemungkinan membatalkan Konsert Jelajah Asia selepas terlibat dalam kemalangan kecil ketika berbasikal pada pagi Isnin lalu di London.
Ekoran kemalangan itu, Sheeran mengalami kecederaan di bahagian tangan.
"Saya mengalami kemalangan kecil dan kini menunggu nasihat perubatan yang mungkin menjejaskan beberapa persembahan akan datang. Saya akan maklumkan dari semasa ke semasa," beliau dipetik berkata di laman Instagramnya.
Menerusi laman Instagram itu, gambar yang dimuat naik memaparkan tangannya berbalut dan memakai selempang mendapat perhatian netizen yang memberi reaksi agar cepat sembuh.
Sheeran dijadual membuat persembahan pada siri Konsert Jelajah Asia 2017 di Taipei pada Ahad ini, petik Agensi.
Konsert seterusnya bakal berlangsung di beberapa buah negara Asia termasuk Malaysia pada 14 November depan, di Axiata Arena Bukit Jalil.
Beliau dijangkakan berehat selepas konsert akhir di Dubai pada 23 November selama beberapa bulan sebelum beraksi semula di Australia pada Mac 2018.