Ecuador terima pinjaman darurat AS$364 juta daripada IMF
Agensi
Julai 9, 2016 08:04 MYT
Julai 9, 2016 08:04 MYT
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat meluluskan pinjaman darurat berjumlah AS$364 juta kepada Ecuador selepas negara itu teruk dilanda gempa bumi pada April.
Bantuan tersebut akan membantu menstabilkan kewangan negara berkenaan dalam usaha menguruskan kerugian besar akibat bencana yang mengorbankan kira-kira 700 orang itu, lapor AFP.
“Gempa bumi pada 16 April yang melanda Ecuador menyebabkan kerugian dan kemusnahan yang signifikan terhadap infrastruktur, perumahan dan pertanian.
“Ia mengakibatkan tekanan fiskal baharu dan baki pembayaran yang segera diperlukan masa ini lantaran ekonomi Ecuador yang masih merudum berikutan kejatuhan harga minyak, kekuatan dolar Amerika, rizab antarabngsa yang rendah, dan akses terhad kepada kewangan antarabangsa,” ujar Timbalan Pengarah Pengurusan IMF Min Zhu dalam satu kenyataan.
Beberapa hari selepas kejadian gempa bumi itu, pemerintah Ecuador berkata negara tersebut memerlukan AS3.3 bilion untuk kerja pembangunan semula, walaupun ia berdepan jurang belanjawan yang dalam akibat kejatuhan harga minyak mentah yang menjadi pendapatan eksport utamanya.
IMF meluluskan pinjaman itu di bawah kemudahan Instrumen Kewangan yang membolehkannya memberikan bantuan pantas kepada negara yang dihimpit masalah kewangan.
Pinjaman itu, yang disampaikan serta-merta, tidak diletakkan sebarang syarat. Namun dalam kenyataan itu, Min menggesa negara berkenaan mengambil langkah untuk mengukuhkan semula kewangannya demi masa depan.
“Dalam terma sederhana, polisi fiskal perlu membina semula penampan yang sewajarnya bagi mewujudkan ruang untuk polisi timbal balik,” ujarnya.