Ebola: Jepun tawar bantuan AS$100 juta
AFP
November 7, 2014 12:24 MYT
November 7, 2014 12:24 MYT
Jepun akan menyediakan bantuan baharu sehingga AS$100 juta kepada Afrika Barat yang dilanda wabak Ebola selepas Amerika Syarikat menyeru usaha global bagi menangani virus yang boleh membawa maut itu.
Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata bantuan itu akan disalur sebagai tambahan kepada AS$40 juta yang diumumkan Perdana Menteri Shinzo Abe pada September.
“Kami akan teruskan dengan bantuan bagi membantu merawat pesakit Ebola dan menghalang jangkitan daripada merebak,” kata Suga dalam satu sidang media.
Suga berkata Abe dijangka memberikan butiran lanjut pakej terbaharu ini pada perhimpunan antarabangsa yang bermula dengan kemuncak APEC di Beijing minggu depan.
Pengumuman itu dibuat setelah pegawai Rumah Putih berkata Presiden AS Barack Obama mengharapkan dana kecemasan lebih AS$6 bilion bagi menangani wabak Ebola di Afrika Barat dan merawat kes di Amerika Syarikat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata wabak Ebola, yang diketahui telah meragut nyawa sekitar 5,000 orang, kebanyakannya di Guinea, Liberia dan Sierra Leone, adalah satu ancaman kepada keamanan dan keselamatan dunia.