Ebola: 4 dilapor meninggal dunia di Guinea, korban pertama sejak 2016
Astro Awani
Februari 14, 2021 09:44 MYT
Februari 14, 2021 09:44 MYT
CONAKRY: Empat individu dilapor menjadi korban wabak Ebola yang dipercayai tercetus semula di Guinea.
Menteri Kesihatan Guinea, Remy Lamah memaklumkan insiden kematian itu amat membimbangkan kerana wabak yang muncul semula selepas lima tahun dari 2013 hingga 2016 itu telah meragut 11,300 nyawa.
Difahamkan, mangsa terbaharu ialah seorang jururawat yang jatuh sakit akhir bulan lalu.
"Mayatnya dikebumikan 1 Februari lalu.
"Lapan lagi yang terlibat ketika pengebumian mengalami cirit-birit, muntah dan pendarahan.
"Tiga daripada mereka meninggal dunia, manakala empat lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan," katanya sepertimana dilapor AFP.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad mengumumkan dua kes Ebola dilapor dikesan di Guinea.
"WHO dimaklumkan tentang dua kes disyaki Ebola di Guinea-Conakry," tulis Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di Twitter.