Easter Bunny selamatkan wanita daripada dipukul lelaki

Agensi
April 23, 2019 21:27 MYT
Lelaki yang berada di dalam pakaian Easter Bunny, Antoine McDonald, memberitahu media antarabangsa bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain membantu wanita itu. - YouTube / Follow downsouth_rell On Instagram
SEORANG lelaki dalam pakaian Easter Bunny bertindak melompat seperti arnab dan masuk campur dalam satu pergaduhan apabila melihat seorang lelaki memukul seorang wanita di sebatang jalan di Orlando, Florida, pada Ahad.
Satu video tular yang dimuat naik di Instagram menunjukkan, seorang lelaki dan wanita bertelagah sebelum lelaki dalam kostum arnab itu meluru ke arah mereka untuk menyelamatkan wanita tersebut.
Easter Bunny itu menyeret lelaki itu ke atas lantai dan menumbuknya berulang kali di jalan Orlando, Florida.
Sejam kemudian, para penonton dan pegawai polis datang untuk memisahkan trio berkenaan dan meredakan keadaan.
Lelaki yang berada di dalam pakaian Easter Bunny itu, Antoine McDonald, memberitahu media bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain membantu wanita itu.
"Saya ke sana supaya saya dapat meleraikan pergaduhan, tetapi lelaki itu mula memukul mangsa.
"Jadi saya terpaksa mencuba kaedah yang berbeza untuk menghentikan pergaduhan itu, yang ternyata berkesan," katanya.
Antoine berkata, pihak polis pada mulanya menyangka pergaduhan itu dirancang dan dia diberi amaran oleh pihak berkuasa itu yang dia akan ditahan jika terus bergaduh.
Tetapi, mereka kemudiannya menyedari bahawa Antoine hanya cuba meredakan pergaduhan tersebut.
#Easter Bunny #Instagram #lelaki #mangsa #pergaduhan #video #wanita
;