'Easter Bunny' dipenjara 18 bulan curi 200,000 biji coklat
Agensi
Julai 22, 2023 17:19 MYT
Julai 22, 2023 17:19 MYT
LONDON: Seorang lelaki yang digelar Easter Bunny oleh polis telah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana mencuri 200,000 biji coklat.
Februari lalu, Joby Pool, 32 tahun, mencuri coklat Cadbury Creme bernilai £31,000 (RM182,430), selepas memecah masuk ke sebuah unit perindustrian dan melarikan diri dengan trak yang dicuri, lapor agensi berita PA Media.
Dia menggunakan mesin pengisar untuk memecahkan pintu pagar unit berkenaan yang terletak di sebuah taman perindustrian di Telford, England, sebelum menggunakan trak curi untuk menunda treler yang dimuatkan dengan 200,000 Cadbury Creme Eggs dan jenama coklat lain.
Pendakwaraya Owen Beale berkata Pool menyerah diri apabila menyedari polis memburunya.
Pool dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Mahkota Shrewsbury, Khamis lalu.
Dia mengaku bersalah atas kesalahan mencuri, melakukan kerosakan jenayah dan memandu tanpa insurans.