EAEU menjadi pusat kuasa bebas dalam dunia multipolar, kata Putin

Bernama
Mei 9, 2024 23:02 MYT
Putin menyeru negara anggota EAEU agar bekerjasama untuk mencapai integrasi dan pembangunan menyeluruh dalam blok itu. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) telah menjadi salah satu pusat kuasa bebas dan mandiri dalam kemunculan dunia multipolar, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu.
Ketika berucap pada mesyuarat sidang kemuncak Majlis Ekonomi Tertinggi Eurasia EAEU, Putin berkata bahawa EAEU telah menjadi organisasi bersepadu yang berkesan dan dinamik, serta menyumbang kepada pembangunan pertukaran perdagangan dan pelaburan, memperkukuh hubungan komersial, serta meluaskan hubungan kerjasama.
"Jumlah perdagangan bersama hampir dua kali ganda daripada AS$45 bilion kepada AS$89 bilion," kata Putin, sambil menambah bahawa lebih 90 peratus pembayaran telah dibuat dalam mata wang negara masing-masing.
Beliau menyeru negara anggota EAEU agar bekerjasama untuk mencapai integrasi dan pembangunan menyeluruh dalam blok itu.
Sidang kemuncak itu bermula di Moscow pada Rabu bagi menandakan ulang tahun ke-10 penandatanganan perjanjian penubuhan kesatuan itu. Ia turut dihadiri oleh Presiden Belarus Aleksandr Lukashenko, Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan.
EAEU, yang secara rasmi ditubuhkan pada Januari 2015, adalah blok serantau yang terdiri daripada Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Belarus, dan Armenia.
--BERNAMA-XINHUA
#EAEU #Vladimir Putin #majlis ekonomi tertinggi eurasia #multipolar
;