Duterte tidak akan beri kerjasama pada siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Agensi
Jun 15, 2021 11:39 MYT
Di bawah pentadbiran Duterte, perang melawan masalah dadah yang membarah di negara itu dilakukan dengan terlalu tegas . - Robinson Ninal Jr./Malacanang Presidential Photogr
MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak akan memberi kerjasama dalam siasatan berkaitan pembunuhan sewaktu memerangi dadah di negaranya, seperti yang mahu dijalankan oleh pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Reuters melaporkan, perkara tersebut dinyatakan oleh jurucakap Duterte pada Selasa.
"Kami tidak akan bekerjasama kerana kami bukan lagi anggota," ujar Harry Roque dalam satu sidang media.
Duterte pada Mac 2018 telah membatalkan keanggotaan Filipina dalam perjanjian ICC.
Seorang pendakwa raya ICC memohon kebenaran dan kuasa pada Isnin untuk membuka siasatan berkenaan kes-kes pembunuhan tersebut, dengan menyatakan terdapat kecederungan terjadinya jenayah kemanusiaan.
Di bawah pentadbiran Duterte, perang melawan masalah dadah yang membarah di negara itu dilakukan dengan terlalu tegas, hingga adakalanya melibatkan penangkapan dan pembunuhan di lokasi serbuan oleh pihak berkuasa, tanpa melalui proses perundangan.
Sementara penyokong tegar Duterte mempertahankan tindakannya dengan mengatakan tiada cara lain boleh dipilih untuk menangani isu dadah yang serius di Filipina, beberapa pihak lain seperti kumpulan hak asasi manusia dan jaringan pemerhati antarabangsa mengecam kaedah itu.
#Filipina #Rodrigo Duterte #Mahkamah Jenayah Antarabangsa #ICC #Harry Roque #Dadah #Pembunuhan #siasatan
;