Duterte tetap sokong ketua polis Filipina walau didesak letak jawatan
Agensi
Januari 23, 2017 08:35 MYT
Januari 23, 2017 08:35 MYT
Presiden Filipina Rodrigo Duterte menunjukkan sokongan kepada ketua polis negara itu walaupun tercetus desakan agar dia meletakkan jawatan berikutan kes seorang usahawan Korea Selatan yang terbunuh sewaktu dalam tahanan di ibu pejabat polis Filipina.
Pegawai khas Duterte, Christopher Go, pada Ahad memberitahu Reuters bahawa Ronald Dela Rosa menerima sokongan penuh daripada Presiden.
Dela Rosa merupakam individu penting dalam misi Duterte memerangi dadah di Filipina.
Sekumpulan pengamal undang-undang, termasuk penyokong Duterte, Speaker Parlimen Pantaleon Alvarez, telah menggesa Dela Rosa supaya berundur selepas beberapa anggota polis didakwa atas tuduhan menculik dan membunuh Jee Ick-joo di dalam tahanan ibu pejabat polis pada Oktober.
Dela Rosa pada Khamis lalu berkata, dia ‘sangat marah’ dan ‘sangat tersinggung’ dengan kes berkenaan.
Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata, penyalahgunaan kuasa polis semakin berleluasa, termasuk mendakwa polis bersubahat dalam pembunuhan suspek pengedaran dadah dalam operasi kontroversi Duterte.
"Untuk mengenal pasti punca permasalahan ini seharusnya lebih daripada sekadar menyalahkan Dela Rosa.
“Sebaliknya, perlu mengutuk polisi banteras dadah yang telah menghasilkan pelanggar hak asasi manusia dan penjenayah dari kalangan anggota PNP (polis Filipina),” ujar Senator Leila De Lima dalam satu kenyataan.
Statistik polis menunjukkan lebih daripada 7,000 orang terbunuh sepanjang tempoh kempen membanteras dadah yang dilancarkan Duterte.
Pihak polis menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan secara sengaja dan berkata kematian dalam kempen anti dadah negara itu adalah untuk pertahanan diri.
#pembunuhan dalam tahanan
#perang dadah.
#polis filipina
#Rodrigo Duterte
#ronald ela rosa
#usahawan korea selatan