Duterte mahu jadi Presiden Filipina paling santai, hapus tradisi rasmi
Agensi
Julai 21, 2016 21:36 MYT
Julai 21, 2016 21:36 MYT
Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberitahu kerajaan pentadbirannya pada Khamis supaya tidak perlu memanggilnya dengan gelaran tambahan ‘Yang Terutama’.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Duterte, 71, berkata dia hanya mahu dirujuk sebagai ‘Presiden’ dalam semua urusan komunikasi rasmi.
Presiden pertama dari wilayah Mindanao itu telah mencipta imejnya sebagai ‘orang luar Manila’ yang hanya fokus dalam urusan membanteras jenayah, berbanding mahu duduk selesa dalam kemewahan Istana Presiden.
“Dalam meneruskan gaya kepresidenan, beliau juga menggalakkan agar protokol komunikasi yang bersifat rasmi, dikurangkan,” ujar jurucakap Duterte, Ernie Abella kepada AFP.
Dalam negara yang kebanyakan majikan dan tuan besar dipanggil Ma’am atau Sir, Duterte sebaliknya mengarahkan anggota Kabinetnya hanya dirujuk sebagai ‘Setiausaha’ berbanding ‘Yang Dihormati’, sepertimana yang diamalkan sebelum ini.
Sejak begitu yakin menegang jawatan presiden pada 30 Jun, Duterte berulang kali melanggar tradisi dan memilih untuk mengangkat sumpah hanya dalam pejabat di istana Presiden, dan bukannya dalam majlis besar-besaran di khalayak ramai.
Beliau memilih untuk melakukan sebegitu dengan alasan tidak mahu menambah kesesakan lalu lintas di ibu negara Filipina yang sedia padat.
Gaya pakaian seorang Presiden juga berubah, apabila rakyat negara itu melihat Duterte hanya memakai seluar jean sewaktu menghadiri majlis perarakan tentera. Beliau juga sering dilihat melipat lengan baju kemeja tradisional atau barong yang lazim disarungkan dalam majlis rasmi.
Dalam ucaptamanya kepada Kongres, Duterte telah mengarahkan tetamunya cuma mengenakan pakaian kerja biasa dan tidak lagi terikat dengan resam memakai sut penuh dan gaun panjang serta berjalan di atas karpet merah.
“Kita akan lebih bersederhana. Ia bukan lagi acara fesyen,” ujar jurucakapnya.