Duterte mahu hantar sampah kembali ke Kanada
Agensi
April 24, 2019 20:09 MYT
April 24, 2019 20:09 MYT
Presiden Filipina Rodrigo Duterte menzahirkan rasa marahnya kepada Kanada pada Selasa berkaitan pertikaian mengenai sisa sampah yang dieksport ke negaranya, selain mengancam mahu menghantarnya kembali ke Kanada.
Manila telah memfailkan beberapa protes diplomatik dengan Kanada berkaitan bertan-tan sisa sampah yang dihantar ke Filipina antara tahun 2013 dan 2014. Kanada bagaimanapun menjelaskan, penghantaran material tersebut adalah bersifat transaksi komersial dan tidak disokong oleh kerajaannya.
"Tentang sampah-sarap Kanada, saya mahu bot disediakan segera.
"Mereka patut bawa keluar semua itu atau saya akan arahkan bot untuk belayar ke Kanada dan punggah semua sampah-sarap itu di sana," tambah Duterte.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, kedutaan Kanada di Manila berkata pegawai dari kedua-dua negara sedang membincangkan isu mencari penyelesaian dalam pengurusan dan pemindahan sisa buangan serta pemprosesan material itu mengikut cara yang paling bertanggungjawab demi alam sekitar.
Selain itu, terdapat beberapa isu lain yang membuatkan hubungan antara Manila dan Ottawa tegang.
Tahun lalu, Duterte mengarahkan tentera negaranya membatalkan perjanjian bernilai AS$233 juta untuk membeli 16 buah helikopter dari Kanada, selepas Ottawa menzahirkan kebimbangan ia akan digunakan untuk melawan kumpulan pemberontak.
Pada penghujung sidang kemuncak antara negara Asia dan Barat pada 2017 a di Manila, Duterte mengecam Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau kerana mempertikaikan tindakannya dalam memerangi dadah di Filipina.