Duterte dikecam anggap wanita tidak sesuai pimpin Filipina

Agensi
Januari 16, 2021 12:40 MYT
Rodrigo Duterte dilaporkan sedang mempersiapkan anaknya, Sara Inday Duterte-Carpio untuk bertanding sebagai Presiden pada 2022. Beliau bagaimanapun menolak dakwaan itu. - Gambar fail REUTERS
MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang terkenal dengan sikapnya gemar mengeluarkan kenyataan kontroversi, sekali lagi menjadi tumpuan ramai dengan menyifatkan kaum wanita tidak sesuai untuk memimpin negara itu.
Tegas Duterte, kaum Hawa jauh lebih beremosi ketika membuat keputusan berbanding lelaki dan kerana itu golongan berkenaan tidak boleh menjadi pemimpin.
Lantaran keceluparan itu, Duterte dikecam oleh pemimpin wanita di negara yang dipimpinnya itu.
Portal South China Morning Post melaporkan, kaum wanita di negara itu tidak bersetuju dengan pendapat berbaur seksis yang dibuat oleh pemimpin berusia 75 tahun itu.
Pengerusi Akbayan Partylist iaitu parti politik pembangkang Filipina, Etta Rosales mempersoalkan di ‘gua’mana Duterte sedang berlindung ketika mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Jawatan Presiden untuk lelaki? Di ‘gua’ mana Rodrigo Duterte tinggal?
“Presiden merupakan kerjaya untuk orang yang boleh menunjukkan kepemimpinan yang efektif dengan menghormati hak asasi manusia, keadilan dan demokrasi, bukannya kerja untuk orang yang zalim, pemalas dan tidak kompeten,” tegas Rosales.
Sementara itu, Senator Risa Hontiveros yang juga ahli Akbayan turut membidas Duterte dengan mendakwa, kaum wanita Filipina telah membuktikan kehebatan sebagai pemimpin lebih daripada sebagai Presiden.
Bagi pensyarah sains politik dari University of the Philipines, Jean Encinas-Franco, komen Duterte itu jelas menggambarkan keperibadiannya yang misoginistik iaitu tidak suka pada kaum wanita.
“Saya tidak terkejut dengan apa yang dikatakan oleh beliau, tetapi disebabkan beliau (Duterte) masih lagi bergelar Presiden, ia agak mengejutkan,” kata Jean Encinas-Franco.
Ketika mendakwa kaum Hawa tidak sesuai menjadi pemimpin negara itu, Duterte barangkali terlupa yang Filipina sebelum ini, pernah dipimpin oleh dua Presiden wanita iaitu Gloria Macapagal Arroyo dari 2001 hingga 2010 dan Corazon Aquino (1986 hingga 1992).
Kenyataan kontroversi Duterte itu dibuatnya pada Khamis lalu yang secara tidak langsung menolak spekulasi kononnya beliau sedang mempersiapkan anak perempuannya, Sara Inday Duterte-Carpio untuk bertanding sebagai Presiden pada 2022.
"Jangan bimbang, anak perempuan saya tidak bertanding pada pemilihan tahun hadapan. Saya sudah beritahu Inday jangan bertandingan kerana saya tidak mahu dia lalui apa yang telah saya lalui sepanjang menjadi Presiden. Kesimpulannya, jawatan Presiden bukan untuk wanita," tegas Duterte lagi.
Sara Inday Duterte-Carpio, 42, dalam tinjauan pendapat sebelum ini mendahului tempat teratas sebagai bakal calon Pilihan Raya Presiden 2022.
Dia juga menggantikan bapanmya sebagai Datuk Bandar Davao City.
#Rodrigo Duterte #presiden filipina #kaum wanita #tidak sesuai jadi pemimpin #Filipina #Gloria Macapagal Arroyo #Corazon Aquino #Sara Inday Duterte-Carpio #Datuk Bandar Davao City
;