Duterte cium bibir wanita 'untuk suka-suka', dan wanita itupun merelakan
Agensi
Jun 4, 2018 21:39 MYT
Jun 4, 2018 21:39 MYT
Presiden Filipina Rodrigo Duterte cetus kontroversi apabila mengucup bibir seorang wanita Filipina sewaktu dalam acara khas sempena kunjungan rasmi ke Korea Selatan pada Ahad malam.
Tindakan itu serta-merta mengundang kemarahan dan jenaka umum pada hari berikutnya, sementara golongan feminis mengutuk aksi tersebut dengan mendakwa itu adalah perbuatan sumbang Duterte yang dilihat sebagai provokasi buat pengkritiknya.
Namun, ramai juga warga Filipina yang menerimanya sebagai satu aksi ciuman yang tidak membawa sebarang makna, dan hanya untuk suka-suka.
Duterte, 73, yang sering dilabelkan sebagai individu yang merendahkan martabat kaum wanita oleh pengkritiknya, bagaimanapun menyatakan bahawa ciuman itu hanyalah gimik untuk menghiburkan penyokongnya dalam sesi ramah mesra di Seoul.
Susulan kejadian mengejutkan itu, media sosial terus dibanjiri kemas kini video dan imej pegun aksi tersebut.
Dalam video tersebut, ciuman itu adalah sebagai balasan yang diminta daripada wanita itu setelah menerima buku yang diagihkan pemimpin berkenaan. Seramai lebih kurang 3,000 penonton dalam acara itu pula dilihat bersorak dan ketawa.
Wanita berkenaan, yang sudah berkahwin, mengaku bahawa dia amat teruja bertemu Duterte secara berdepan.
Selepas ciuman itu, Duterte memberitahu penonton: “Jangan ambil serius, Ini untuk suka-suka saja, satu gimik.”
Wanita yang mendedahkan identitinya sebagai Bea Kim itu kemudiannya memuat naik video di akaun Facebooknya dengan mengatakan bahawa: “Tiada niat jahat (dalam aksi bercium itu). Bagi saya, dan dirinya, ia tidak memberi makna apa-apa.”
Sebelum ini, Duterte pernah membuat jenaka tentang rogol terhadap wanita, hingga menerima bantahan kumpulan aktivis dan pemantau antarabangsa, termasuk anak bekas Presiden Amerika Syarikat, Chelsea Clinton.
Namun, setiap perbuatan Duterte terus menerima sokongan kuat daripada rakyat negaranya.
Pejuang hak asasi dan kehormatan wanita di Filipina baru-baru ini melancarkan kempen dalam talian #BabaeAko (Saya Wanita) untuk menyampaikan mesej bantahan terhadap segala kata-kata dan perbuatan Duterte yang merendahkan maruah wanita.
"Anda tidak perlu mencium seorang wanita jika hendak menghiburkan orang ramai," ujar Setiauaha Agung Parti Wanita Gabriela, Joms Salvador.