Duterte berang pendakwa raya ICC mahu teruskan siasatan 'perang dadah' Filipina
Agensi
Jun 26, 2022 15:20 MYT
Jun 26, 2022 15:20 MYT
MANILA: Pejabat Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Sabtu berang dengan pendakwa raya dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan tentang perancangannya untuk meneruskan siasatan terhadap kes pembunuhan beramai-ramai ketika negara itu melancarkan perang besar-besaran terhadap dadah.
Khan pada Jumaat memberitahu, perintah penangguhan terhadap siasatan ICC oleh Manila tidak memiliki waran, maka ia perlu diteruskan secepat mungkin.
Jurucakap presiden, Martin Andanar dalam satu kenyaaan memberitahu, pentadbiran Duterte telah menjalankan siasatan ke atas semua kematian yang berlaku sepanjang operasi penguatkuasaan antidadah, dan ICC sepatutnya membiarkan kerajaan melaksanakan usaha pembanterasan itu.
Pada September tahun lalu, panel hakim ICC meluluskan satu siasatan berhubung kematian ribuan suspek jenayah dadah di Filipina. Golongan aktivis berkata, ramai yang terkorban akibat tindakan agensi penguatkuasaan yang dilancar oleh Duterte. ICC kemudiannya terpaksa menangguhkan siasatan pada November atas permintaan Manila.
PIhak kerajaan, dalam catatan rekod kematian sehingga Mei 2022, secara rasmi mengesahkan kematian 6,252 orang.
Duterte, yang bakal mengakhiri penggal enam tahunnya pada Jun 30, mempertahankan tindakan polis dan menegaskan bahawa semua yang terbunuh itu ialah pengedar dadah yang cuba lari dari ditangkap. Katanya, pihak polis boleh membunuh jika mereka berada dalam situasi berbahaya, selain sedia memaafkan sesiapa yang dimasukkan ke penjara.
Ahli majlis keadilan antarabangsa dari Human Rights Watch, Maria Elena Vignoli, menyifatkan tindakan Khan yang mahu meneruskan siasatan berkenaan jenayah kemanusiaan semasa perang dadah itu sebagai 'penggalak kebertanggungjawaban'.
"Kerajaan tidak pernah serius tentanf keadilan dalam jenayah kemanusiaan ini, sementara nasib waris dan keluarga mangsa yang dibunuh tidak dibela, sedangkan pelakunya tidak dihukum," kata Vignoli.