Duta langgar sampai mati, pulang ke Amerika dilindung imuniti

Razak Chik
Oktober 16, 2019 23:03 MYT
Charlotte Charles dan Tim Dunn, ibu dan bapa Harry yang berkunjung ke Amerika pada Ahad bakal pulang ke UK hampa. Foto: AP
HARRY Dunn, tidak akan menyambut ulang tahun hari kelahirannya yang ke-20 tahun hadapan kerana dia sudah tiada – maut setelah dilanggar isteri kepada warga Amerika bertaraf diplomat di sebuah jalan kampung di Croughton, Northamptonshire, United Kingdom pada 27 Ogos lalu.
Wanita terbabit, Anne Sacoolas, pulang ke Amerika mengguna saluran diplomatik dan kini tidak berniat kembali ke UK untuk menghadapi proses undang undang.
Kini, Charlotte Charles dan Tim Dunn, ibu dan bapa Harry yang berkunjung ke Amerika pada Ahad bakal pulang ke UK hampa.
Di White House, Washington, mereka melayan jemputan bertemu Presiden Donald Trump tetapi gagal merubah pendirian Amerika berhubungan isu kekebalan imuniti Sacoolas sebagai isteri kepada seorang diplomat.
Sacoolas dilapor memandu kereta `menghadapi arah salah’ – disebelah kanan jalan dua hala sewaktu kejadian pada 27 Ogos.
Akibatnya, motorsikal yang ditunggang Harry bertembung dengan kereta yang dipandu Sacoolas. (Di Amerika, kenderaan dipandu di kanan, bukan di kiri jalan).
Kes ini menarik perhatian meluas media UK yang banyak mempersoalkan isu moral dan nilai kemanusiaan kalangan warga diplomat yang bertugas di bawah lindungan imuniti diplomatik.
Ini ekoran tindakan Anne Sacoolas `lari’ pulang dan berlindung menyelamatkan diri dari tindakan undang undang `dibaluti’ kekebalan imuniti.
Kekebalan imuniti merupakan hak mutlak kesemua warga diplomat yang dipersetujui melalui Konvensyen Geneva dan sering digunakan mengelak tindakan undang-undang.
Ini termasuk kesalahan sekecil mengelak bayaran letak kereta hingga sebesar jenayah berat melibatkan kematian.
Sewaktu pertemuan dengan Donald Trump pada Selasa di White House, Charlotte dan Tim dikejutkan dengan tawaran Presiden untuk mereka temu bersemuka dengan Anne.
Charlotte dan Tim tambah tersentak apabila Trump memberitahu mereka Sacoolas sedang menunggu di bilik bersebelahan untuk bertemu mereka.
Terlalu terkejut, tawaran itu ditolak kerana menurut Anne, mereka tidak bersedia untuk sebarang pertemuan dengan wanita yang meragut nyawa anak kesayangan mereka.
Dalam temubual dengan stesen televisyen CBS di Amerika, Charlotte dan Tim mendedahkan bahawa mereka sanggup mencadangkan kepada polis untuk meringankan pertuduhan terhadap Anne.
Menurut Charlotte, mereka sekeluarga pada asalnya rela Sacoolas di dakwa memandu cuai, bukan memandu cara berbahaya. Hukuman memandu cuai membawa hukuman penjara manakala memandu cuai hanya melibatkan hukuman yang jauh lebih ringan.
Mereka mengambil sikap berperi-kemanusiaan apabila mengetahui dua anak Sacoolas turut berada dalam kereta dan menyaksikan kemalangan itu sewaktu kejadian.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Harry Dunn #maut #White House
;