Duta Khas Presiden AS John Kerry lawat China 16 Julai
Bernama
Julai 12, 2023 16:09 MYT
Julai 12, 2023 16:09 MYT
MOSCOW: Duta Khas Presiden AS untuk Iklim, John Kerry, akan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 16 hingga 19 Julai bagi menangani isu iklim dan mempromosikan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (COP28)," menurut Jabatan Negara AS pada Selasa, lapor Sputnik.
" Semasa pertemuan dengan pegawai China, Setiausaha Kerry berhasrat untuk melibatkan diri dengan negara itu dalam menangani krisis iklim, termasuk berkenaan peningkatan pelaksanaan dan cita-cita serta mempromosikan COP28," kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.
Kerry berkata pada pertengahan April bahawa beliau telah dijemput untuk melawat China bagi rundingan dua hala mengenai perubahan iklim dan menyatakan harapan bahawa rundingan itu akan membantu membaiki hubungan dan membolehkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam isu global.
Ketegangan antara AS dan China meruncing Ogos lalu selepas Speaker Dewan Perwakilan AS ketika itu Nancy Pelosi melawat Taiwan. Beijing mengecam perjalanan Pelosi, yang dianggap sebagai tanda sokongan terhadap pemisahan, dan melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar pulau itu.
Ketegangan antara Washington dan Beijing semakin memuncak pada Februari 2023, apabila Setiausaha Negara AS Blinken membatalkan lawatannya ke Beijing selepas Pentagon mengesan belon China di atas ruang udara AS.
Washington menegaskan bahawa belon itu telah dihantar untuk mengintip tapak tentera manakala Beijing berhujah ia adalah kapal udara meteorologi yang tersasar dari laluan.
Persidangan iklim PBB akan berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.-- BERNAMA