Duta Chile, Columbia di Israel diarah pulang susulan serangan terbaharu zionis

Astro Awani
November 1, 2023 11:00 MYT
Gabriel Boric menggambarkan tindakan Israel itu sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel di Gaza yang 'tidak dapat diterima.' - Foto AP
SELEPAS kerajaan Bolivia membuat keputusan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, dua buah lagi negara iaitu Chile dan Colombia turut menyatakan kekesalan dengan tindakan rejim zionis ke atas rakyat Palestin.
Tidak menunggu lama, Chile mengeluarkan arahan memanggil semula dutanya ke Israel berikutan pelanggaran yang 'tidak dapat diterima.'
Presiden Chile, Gabriel Boric mengumumkan kerajaannya akan memanggil balik dutanya ke Israel, Jorge Carvajal untuk berunding berkenaan dengan apa yang Boric gambarkan sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel di Gaza yang 'tidak dapat diterima.'
Dalam hantaran di akaun media sosialnya, Boric menegaskan, kerajaannya 'sangat mengutuk' operasi ketenteraan Israel di kawasan Palestin yang terkepung.
Operasi ketenteraan Israel itu juga dianggap sebagai 'hukuman kolektif terhadap orang awam Palestin,' kata Presiden Chile itu.
Bagi Colombia pula, selagi tindakan pembunuhan beramai-ramai di Palestin tidak dihentikan, selagi itu wakil Columbia tidak boleh berada di Israel.
“Selagi Israel tidak menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, kami tidak boleh berada di situ,” kata Presiden Columbia, Gustavo Petro dalam hantaran di akaun X beliau.
Pada 19 Oktober lalu, Petro bertemu dengan Duta Israel ke Columbia, Gali Dagan bagi membincangkan situasi di Semenanjung Gaza.
Pada Selasa, sekurang-kuranganya 50 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaharu zionis Israel ke atas kem pelarian terbesar, Jabalya di Semenanjung Gaza.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan serangan berkenaan dilancarkan dengan mendakwa, sasaran mereka ialah komander Hamas.
Tentera Israel mendakwa, mereka berjaya menawan Ibrahim Biari – pemimpin Hamas yang mengetuai serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, kata jurucakap Leftenan Kolonel Richard Hecht.
#Perang Palestin-Israel #duta dipanggil pulang #Israel serang Hamas #Chile dan Columbia
;