Durov tidak sembunyikan apa-apa - Telegram

Astro Awani
Ogos 26, 2024 08:00 MYT
Durov ditahan di bawah waran berkaitan kesalahan yang melibatkan aplikasi mesej popular berkenaan. - Foto fail/REUTERS
SYARIKAT aplikasi Telegram dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pengasasnya Pavel Durov tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan susulan penahannya di Perancis pada Sabtu.
Malah, Telegram mendakwa adalah tidak masuk akal untuk meminta pemilik bertanggungjawab atas penyalahgunaan platform.
Kata kenyataan itu, Telegram mematuhi undang-undang EU, termasuk Akta Perkhidmatan Digital serta kemudahannya berada dalam piawaian industri dan sentiasa ditambah baik.
Durov juga katanya, tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan kerap melakukan perjalanan ke Eropah.
Platform berkenaan juga sedang menunggu penyelesaian segera bagi situasi tersebut.
Jutawan Rusia itu dilaporkan tiba di Perancis melalui Lapangan Terbang Le Bourget dari Azerbaijan sebelum ditahan pihak polis.
Durov ditahan di bawah waran berkaitan kesalahan yang melibatkan aplikasi mesej popular berkenaan.
Durov, yang juga pengasas platform media sosial Rusia Vkontakte, mencipta Telegram bersama saudaranya, Nikolai.
Telegram merupakan antara rangkaian dalam talian terpenting di Rusia dan digunakan oleh pihak berkuasa serta ahli politik untuk berkomunikasi.
#Telegram #Pavel Durov #penahanan #pengasas
;