Durian, rambutan segar ‘gugur’ di benua Afrika, perluas pasaran baharu

Harits Asyraf Hasnan
Julai 15, 2024 22:49 MYT
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya (lima dari kiri) bersama tetamu yang hadir pada Pesta Durian dan Rambutan di Namibia pada Isnin. 
- Malawakil Windhoek
WINDHOEK (Namibia): Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia sekali lagi mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian rasa buah-buahan Malaysia.
Selepas kejayaan acara promosi buah-buahan Malaysia yang diadakan dua bulan lalu, Suruhanjaya Tinggi itu menganjurkan Pesta Durian dan Rambutan pada Isnin.
Acara ini yang dihoskan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertujuan memperkenalkan rasa unik durian dan rambutan di pasaran Namibia.
Katanya, para tetamu dihidangkan dengan Durian D197 yang terkenal, juga dikenali sebagai Musang King dan Rambutan ‘Budak Sekolah’.
“Acara ini bertujuan untuk mempromosikan buah-buahan Malaysia dan mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Namibia.
“Melalui acara ini, saya ingin menekankan kepentingan merasai buah-buahan yang berbeza, terutama yang tidak terdapat di pasaran tempatan pada masa sama meningkatkan perdagangan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan kepada Astro AWANI.
Beliau pada masa sama melihat potensi buah-buahan Malaysia untuk menembusi pasaran Namibia dan pasaran Afrika selatan berdekatan, termasuk Angola, Republik Congo dan Republik Demokratik Congo - yang mencapai lebih daripada 150 juta penduduk.
Lebih daripada 40 tetamu jemputan menghadiri pesta ini, termasuk wakil perniagaan utama Namibia seperti SPAR, Shoprite dan Taiwan Food selain kelompok ahli perniagaan Indonesia yang merupakan penduduk tetap di sini.
Buah Musang King segar yang dipek vakum itu diterbangkan terus dari Malaysia dan tiba di Namibia pada Sabtu lalu.
Malah, beberapa tetamu yang hadir turut membuat pesanan lebih daripada 100 kilogram durian melalui Suruhanjaya Tinggi.
Selain buah-buahan segar, Presiden Perwakilan Namibia, Datin Noor Zulaikha Rameez turut menyediakan pelbagai hidangan istimewa Malaysia yang berasaskan durian seperti wajik durian, bubur kacang hijau duriann dan kuah durian bersama roti.
Hidangan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, teh tarik dan bihun goreng turut disajikan.
#durian #namibia #Suruhanjaya Tinggi Malaysia #buah-buahan malaysia #Pesta Durian dan Rambutan
;