Dunia sedang resah
Ashwad Ismail
Januari 21, 2019 15:48 MYT
Januari 21, 2019 15:48 MYT
Dua puluh empat jam menjelang acara tahunan yang menghimpunkan lebih 3,000 elit-elit politik, kerajaan, korporat dan perniagaan di sini, Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendedahkan tinjauan pendapat warga dunia mengenai keperluan meningkatkan kerjasama demi umat manusia.
Tinjauan pendapat terbaharu oleh WEF menunjukkan 57 peratus daripada 10,000 responden daripada pelbagai latar merentasi semua benua berpendapat, kehadiran pendatang ke sesebuah negara memberi manfaat kepada negara tersebut.
Sentimen di Amerika Syarikat juga sama. Lebih 63 peratus responden berpegang kepada pendapat tersebut. Berbeza dengan resam serta citra presidennya, Donald Trump yang dilihat anti-imigran.
Dalam erti kata lain, setiap negara di dunia ini tidak boleh bersendirian. Yang kuat pula, jangan menindas yang lemah seperti bak kata orang Melayu Nusantara, ‘bagai kayu lempung ditebuk kumbang tembus-menembus’.
Istilah yang selama ini tidak lekang di bibir golongan cerdik pandai untuk merujuk kepada senario ini ialah ‘multilateral’. Maknanya, memeluk erat prinsip serta sistem yang mengelak sebarang perseteruan tetapi bekerjasama demi umat ketika era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) ini.
Memahami realiti dunia sekarang ini yang suram dek kerana ketegangan geo-ekonomi (baca: perang perdagangan AS - China), warga dunia memberi isyarat agar mereka yang berkuasa dan berduit perlu memilih jalan yang lebih sejagat sifatnya.
Jika diteliti risiko yang dihadapi oleh umat manusia, rencam dan pelbagai. Tetapi Pengasas WEF, Klaus Schwab menggariskan lima trend yang menjadi ramuan yang boleh membinasakan sejagat.
“Apa yang kita lihat ketika ini ialah masyarakat global mahu pemimpin-pemimpin mereka mencari cari yang baharu dan lebih segar tangani semua cabaran dan masalah secara bersama,” kata Schwab.
Prinsip WEF mengenai keperluan sejagat melalui mobiliti imigran contohnya, bukanlah sesuatu yang asing kepada Indonesia, Malaysia dan rantau Nusantara amnya.
Sejarah panjang tamadun sejak kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah muafakat kontrak sosial yang menjadi rukun bernegara sejak 1957, sentiasa berasaskan prinsip keterbukaan.
Masyarakat menyantuni kehadiran pendatang dan bergandingan membina negara ibarat ‘sekati sama berat, diuji sama merah’.
Kini, elit-elit global yang diselimuti salji tebal (suhunya negatif 15 darjah selsius) di Davos ini sedang meniti pelbagai permasalahan dunia dengan berpaut kepada prinsip manusiawi, prinsip yang menjadi ‘tiang seri’ nilai kemanusiaan rantau Nusantara selama ini.
Tonton Insta Story kru Astro AWANI yang melaporkan perkembangan terkini di World Economic Forum, Davos, Switzerland di sini.
#anti-imigran
#Donald Trump
#elit politik
#Forum Ekonomi Dunia
#keperluan sejagat
#Revolusi Perindustrian
#WEF