Dunia sangsi dengan janji Taliban - Salawati
Astro Awani
September 2, 2021 14:25 MYT
September 2, 2021 14:25 MYT
KUALA LUMPUR: Pakar antarabangsa berpendapat, Taliban perlu diberi masa untuk membuktikan mereka melaksanakan pentadbiran yang menegakkan hak asasi manusia.
Namun tidak sampai seminggu pemerintahannya, Taliban telah melakukan beberapa perkara yang membuatkan dunia sangsi dengan pentadbiran mereka.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa dan Pengajian Keselamatan UKM, Prof Madya Salawati Mat Basir menjelaskan, sejarah Taliban belum menampakkan ciri-ciri ke arah menegakkan hak asasi manusia seperti yang digembar-gemburkan.
"Sejarah Taliban belum lagi menampakkan ciri-ciri ke arah menegakkan hak asasi manusia, baru beberapa hari mengambil alih dengan keluarnya tentera asing di Afghanistan sudah ada berita-berita yang tidak menyenangkan seperti pembunuhan blogger terkenal Afghanistan.
"Kemudian semalam penyanyi terkenal lelaki Afghanistan diheret keluar dari rumah dan dibunuh, secara dasarnya saya agak tidak percaya Taliban akan membawa satu dimensi baharu dari segi isu kemanusiaan untuk dipraktikkan di Afghanistan," katanya kepada Astro AWANI.
Salawati berpendapat, sekiranya Taliban jujur ingin menegakkan keadilan seperti yang dinyatakan kepada dunia, Taliban akan membawa keluar Afghanistan daripada rasuah dan memberi hak kepada golongan wanita untuk bekerja dan kanak-kanak perempuan mendapat pendidikan.
"Tetapi buat masa ini belum ada tanda itu semua akan berlaku, masih wujud sifat-sifat lama Taliban yang membuatkan banyak pihak sangsi.
"Sekiranya mereka benar-benar suci hati hendak melaksanakannya, sewajarnya sudah boleh mulakannya kerana sekarang seluruh Afghanistan sudah dikuasai mereka," katanya lagi.
Beliau menjelaskan, banyak pihak masih sangsi dengan janji-janji yang dibuat Taliban disebabkan pengalaman ngeri yang dilalui sebelum ini.