'Dunia jauh tersasar tangani perubahan iklim' - Raja Charles

Agensi
Disember 2, 2023 14:40 MYT
Raja Charles menggesa pemimpin dunia untuk mengambil tindakan dalam menangani risiko perubahan iklim yang mendesak - Foto/REUTERS
DUBAI: Raja Charles III menyifatkan dunia "sangat jauh tersasar" dalam menangani perubahan iklim.
Dalam ucapan pembukaan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) pada Jumaat, Raja Britain itu berkata, situasi berkenaan menyebabkan ekonomi global akan berada dalam bahaya melainkan alam sekitar dibaik pulih dengan segera.
Justeru, Raja Charles menggesa pemimpin dunia untuk mengambil tindakan dalam menangani risiko perubahan iklim yang mendesak.
"Saya berdoa dengan sepenuh hati agar COP28 akan menjadi satu lagi titik perubahan kritikal ke arah tindakan transformasi yang tulen, di mana para saintis telah memberikan amaran sejak sekian lama (mengenai perubahan iklim). Kita melihat titik penting yang membimbangkan telah dicapai," katanya dalam ucapan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa para pemimpin dunia untuk merancang masa depan tanpa bahan api fosil.
Tegas beliau, tidak ada cara lain untuk mengekang pemanasan global dan menyelamatkan planet selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api berkenaan.
"Saya mendesak negara-negara untuk mempercepat jadual masa sifar bersih mereka secepat mungkin bagi negara-negara maju pada 2040, dan 2050 untuk ekonomi yang sedang berkembang. Kedua, kita tidak dapat menyelamatkan planet yang sedang terbakar.
"Kita mesti mempercepatkan peralihan yang adil dan saksama kepada tenaga boleh diperbaharui," ujarnya.
Lebih 130 ketua negara dan kerajaan berkumpul di Dubai bagi menghadiri persidangan tersebut, yang berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember ini.
#Raja Chales III #perubahan iklim #COP28 #PBB
;