Dunia Islam kutuk Trump iktiraf Bukit Golan milik Israel
Agensi
Mac 26, 2019 13:36 MYT
Mac 26, 2019 13:36 MYT
ARAB SAUDI mengetuai negara-negara Islam mengutuk tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengesahkan wilayah Bukit Golan sebagai wilayah sah Israel.
Menurut kenyataan Arab Saudi segala usaha mengiktiraf tindakan Israel tidak mengubah sebarang fakta bahawa Israel menceroboh secara haram.
“Bukit Golan adalah tanah Arab Syria yang dirampas oleh Israel seperti yang tertulis dalam resolusi antarabangsa.
“Ia akan mempunyai kesan negatif terhadap proses rundingan damai Asia Barat selain keselamatan dan kestabilan rantau itu,” kata Arab Saudi.
Syria pula berkata tindakan Trump itu adalah serangan kejam terhadap kedaulatan negara itu dan Bukit Golan adalah milik Syria.
Trump menerima kunjungan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan menandatangani dokumen pengiktirafan Bukit Golan sebagai wilayah milik Israel.
Agensi berita Saudi menegaskan pengiktirafan Trump itu jelas melanggar persetujuan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, badan itu kekal dengan keputusan sama, iaitu Bukit Golan adalah milik Syria.
“Dasar PBB berkaitan Golan mencerminkan segala resolusi berkaitan oleh Majlis Keselamatan dan dasar itu tidak pernah berubah,” tambahnya.
Resolusi Majlis Keselamatan PBB diterima pakai sebulat suara oleh 15 negara ahli pada 1981 yang menetapkan tindakan Israel melaksanakan undang undang dan pentadbiran di Golan adalah terbatal.
Sementara itu Turki menyifatkan tindakan AS sebagai tidak boleh diterima dan berikrar akan mengambil tindakan termasuk di peringkat PBB.
Lubnan turut mengutuk keras AS dan menyifatkannya satu pelanggaran undang-undang antarabangsa serta menafikan usaha keamanan.
“Bukit Golan adalah tanah Syria, tiada keputusan yang mengubah perkara ini dan tidak ada negara boleh mengubah sejarah pemilikan tanah ini,” katanya.
Indonesia pula dengan keras menolak tindakan Trump dan sifat ego Trump hanya menjejaskan proses keamanan.
Israel merampas Bukit Golan dari Syria pada 1967 ketika Perang Asia Barat dan menceroboh kawasan itu pada 1981 meskipun dikutuk komuniti antarabangsa.
#Amerika Syarikat iktiraf Golan wilayah Israel
#Arab Saudi
#Arab Saudi kecam Amerika Syarikat
#Arab Saudi kecam Donald Trump
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#Golan Heights
#Indonesia
#Islam
#Israel
#Pencerobohan Israel
#Syria
#Turki