Dunia diseru bentuk sinergi atasi penyakit tibi

Bernama
Mac 25, 2022 07:13 MYT
Walaupun banyak kejayaan dikecapi dalam usaha memerangi TB, namun penyakit itu masih menjadi masalah global yang menjadi antara ancaman utama kepada kesihatan awam. - Gambar hiasan
BEIJING: Kerajaan China memberikan tumpuan utama terhadap usaha pencegahan dan rawatan penyakit tibi (TB) atau batuk kering dengan menyenaraikannya dalam Inisiatif China Sihat, di samping memperuntukkan dana khas serta menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan ubat-ubatan secara percuma.
Demikian kata isteri Presiden Xi Jinping, Peng Liyuan ketika berucap dalam persidangan maya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari TB Sedunia, pada Khamis.
Beliau yang juga Duta Muhibah WHO untuk TB dan HIV/AIDS turut memaklumkan kadar sembuh untuk penyakit itu di China kekal melebihi 90 peratus.
Menurut Peng, terdapat lebih sejuta sukarelawan di China yang berbakti untuk menyebarluaskan ilmu tentang TB selain menghulurkan bantuan kepada para pesakit.
Beliau turut berpandangan bahawa walaupun banyak kejayaan dikecapi dalam usaha memerangi TB, namun penyakit itu masih menjadi masalah global yang menjadi antara ancaman utama kepada kesihatan awam.
Justeru, Peng berkata elemen keyakinan, kasih sayang dan ketabahan adalah perlu bagi merungkai cabaran baharu.
Beliau berharap pelbagai negara dapat berkongsi pengalaman dalam pencegahan dan rawatan TB, di samping menjalankan kerjasama yang efektif.
"Marilah kita berganding bahu dan aktif bertindak bagi memastikan matlamat kesihatan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tercapai, dan bersama-sama membentuk komuniti kesihatan sesama insan," katanya.
-- BERNAMA
#penyaklit tibi #tuberculosis #Peng Liyuan #perubatan