Dunia berisiko alami 'bencana' nuklear - Biden

Bernama
Oktober 7, 2022 14:29 MYT
BIDEN: Kami tidak menghadapi prospek bencana seumpamanya sejak (Presiden John F.) Kennedy dan krisis peluru berpandu Cuba. - AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Khamis membangkitkan kebimbangan bahawa dunia berhadap bibit-bibit permulaan bencana nuklear, buat kali pertama sejak Perang Dingin.
"Kami tidak menghadapi prospek bencana seumpamanya sejak (Presiden John F.) Kennedy dan krisis peluru berpandu Cuba," lapor Agensi Anadolu memetik ucapan presiden pada majlis pengumpulan dana Demokrat.
Komen itu dibuat selepas Presiden Rusia Vladimir Putin membangkitkan ancaman perang nuklear bulan lalu ketika beliau menyatukan lebih banyak wilayah Ukraine di bawah Rusia. Putin dan proksi akhirnya menyelesaikan proses pengilhakan minggu ini berikutan pungutan suara yang dikecam oleh Barat sebagai 'rampasan wilayah' secara haram.
Laporan itu menyebut Biden berkata beliau 'amat mengenali' Putin," sambil menambah pemimpin Rusia itu "tidak bergurau apabila beliau bercakap tentang potensi penggunaan senjata nuklear taktikal atau senjata biologi atau kimia, kerana prestasi tenteranya, yang boleh dianggap semakin merosot."
Tentera Ukraine berjaya merampas semula wilayah yang dahulunya diduduki oleh Rusia, memaksa mereka berundur dari wilayah Kharkiv utara dan Kherson di selatan.
-- BERNAMA
#Joe Biden #bencana nuklear #Vladimir Putin #rusia-ukraine
;