Dukun 'buka aura' telanjangi, cabul 20 wanita

Agensi
April 22, 2018 18:30 MYT
Modus operandi si dukun adalah dengan mempersilakan mangsa masuk ke dalam bilik yang gelap dan memintanya menanggalkan pakaian untuk dimandikan.
Seorang lelaki yang mengaku dirinya dukun hampir dibelasah penduduk kampung setelah perbuatan jahatnya mencabul 20 pesakit wanita terbongkar.
Lelaki berusia 43 tahun yang baru saja berpindah ke rumah sewa di Kampung Kebonrandu, di daerah Sukabumi itu diserahkan kepada polis setelah saksi mendakwa dicabuli ketika menerima rawatan.
Suspek dikunjungi mangsa setelah mendengar khabar bahawa dia memiliki ilmu yang mampu menaikkan seri wajah seseorang agar kelihatan menarik.
Menurut saksi, modus operandi si dukun adalah dengan mempersilakan mangsa masuk ke dalam bilik yang gelap dan memintanya menanggalkan pakaian untuk dimandikan.
Ketika dimandikan, suspek mula mencabul wanita itu hingga proses 'perubatan' selesai.
Disebabkan takut, mangsa langsung tidak membantah ketika dimandikan.
Namun, selepas pulang, mangsa terus memberitahu keluarganya tentang perilaku si dukun durjana tersebut.
Khabar tentang tindakan cabul suspek akhirnya diketahui penduduk yang mula berkumpul untuk membelasahnya.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas ketua masyarakat di situ berjaya menyelamatkan keadaan apabila suspek terus dibawa ke balai polis.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku telah melakukan tindakan cabul terhadap 20 mangsa.
Polis berkata kes kini sedang dalam siasatan untuk mengenal pasti mangsa lain yang terlibat.
#cabul #DUKUN #dukun cabul #Kampung Kebonrandu #mangsa #seri wajah #tanggal pakaian
;