Dukacita kebakaran tak berakhir, puak pribumi Amazon berserah kepada 'kuasa alam'
Agensi
September 2, 2019 18:52 MYT
September 2, 2019 18:52 MYT
Ketika ribuan titik panas kebakaran di hutan hujan Amazon masih tidak terpadam sepenuhnya, beberapa puak pribumi beralih kepada upacara spiritual sebagai ikhtiar mengehntikan kemusnahan dan melindungi persekitaran mereka untuk generasi seterusnya.
Reuters melaporkan, di kampung Feijo di barat Brazil yang berdekatan dengan sempadan Peru, puak pribumi Shanenawa pada Ahad telah melakukan ritual khas untuk mencari keharmonian antara manusia dan alam.
Dengan wajah yang diceloreng warna, mereka menari dalam formasi bulatan dan berdoa agar kebakaran itu terhenti.
“Kami mahu kedamaian, kasih sayang, keharmonian dan pendidikan untuk menghentikan serangan api di amazon ini,” ujar ketua Shanenawa, Tekaheyne Shanenawa, yang turut menari dalam upacara itu.
Ribuan kes kebakaran telah direkodkan di hutan hujan terbesar dunia itu sejak musim kering tahun ini bermula, malah yang tertinggi dalam tempoh sedekad.
Dalam tempoh yang sama, Presiden Brazil Jair Bolsonaro menegakkan pendiriannya bahawa hutan itu perlu diteroka untuk tujuan pembangunan, walaupun merampas hak tanah penduduk pribumi.
GALERI FOTO: Ritual Pribumi Amazon demi hentikan kebakaran
"Jika kebakaran ini berterusan, dalam tempoh 50 tahun, tiada lagi hutan.
“Kita akan rasa tidak selamat dengan apa yang kita ada, dalam budaya kita, bahasa kita, lagu kita. Kita tanpa hutan, kita tidak dapat bertani, kita tidak dapat makan dan tanah ini tidak lagi boleh didiami," kata seorang lagi pemimpin Shanenawa, Bainawa Inu Bake Huni Kuin.
Kebanyakan hamparan Amazon berada dalam negara Brazil, sementara selebihnya di Colombia dan Peru, yang juga diancam kebakaran. Puak Shanenawa berjumlah 720 orang dan tinggal di kawasan tanah seluas 23,000 hektar.
Sehingga kini, kritikan semakin kuat ditujukan kepada pentadbiran Bolsonaro, yang telahpun mengakui bahawa mereka tidak mempunyai sumber yang cukup dan cekap untuk menangani bencana itu.
Kebanyakan daripada punca kebakaran itu dipercayai dimulakan oleh peladang soya dan penternak lembu.
"Ritual dia kami adalah demi planet Bumi, untuk memastikan ia terus sihat dan selamat.
“Kami berdoa untuk Ibu Air, Bapa Matahari, Ibu Hutan dan Ibu Bumi, yang kini cedera parah,” ujar Bainawa.