Dua wartawan, pemandu stesen tvOne maut dalam kemalangan
Bernama
Oktober 31, 2024 18:45 MYT
Oktober 31, 2024 18:45 MYT
JAKARTA: Dua wartawan dan seorang pemandu daripada sebuah stesen televisyen berpusat di Jakarta Timur, tvOne, maut dalam kemalangan tragis awal pagi Khamis ketika dalam perjalanan untuk membuat liputan di Gresik, Jawa Timur.
Menurut kenyataan tvOne, sebuah lori merempuh kenderaan pelbagai guna yang membawa pasukan penerbitan program siasatan "Fakta" dari belakang di Lebuhraya Tol Jakarta-Pemalang, Jawa Tengah, pada pukul 6.45 pagi waktu tempatan.
Mereka yang terkorban ialah Marwan, Alwan Syahmidi dan pemandu Sunardi, kesemuanya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara itu, dua yang terselamat, Felicia Amelinda Dewi Priatna dan Geigy Yudhistira, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Pemalang.
Felicia menceritakan detik-detik kejadian: "Kami sebelumnya berhenti untuk solat subuh di kawasan rehat sebelum meneruskan perjalanan.
"Semasa dalam perjalanan, cermin depan menjadi kotor dan perlu dibersihkan secara manual, jadi kami berhenti di bahu jalan. Tiba-tiba, kami dilanggar dari belakang."
tvOne telah menghantar pasukan ke lokasi kejadian dengan Ketua Pengarang Lalu Mara Satriawangsa menuju ke Pemalang untuk membantu proses pengurusan jenazah dan memberikan bantuan kepada mangsa yang terselamat.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kemalangan itu, manakala tvOne menggesa orang ramai untuk bertenang dan menunggu maklumat rasmi yang dikemas kini.
"Kami memohon orang ramai untuk mendoakan agar segala amal kebaikan mereka yang terkorban diterima dan dosa mereka diampunkan. Kami juga berharap agar para mangsa yang terselamat dan keluarga diberi kekuatan serta sokongan dalam menghadapi saat sukar ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA