Dua warga Pakistan antara empat maut dalam tembakan berhampiran masjid di Oman
Bernama
Julai 16, 2024 18:55 MYT
Julai 16, 2024 18:55 MYT
WASHINGTON / ISTANBUL: Dua warga Pakistan adalah antara sekurang-kurangnya empat orang yang terbunuh dalam insiden tembakan berhampiran sebuah masjid di Oman awal Selasa, lapor Anadolu Agency (AA).
Beberapa orang turut cedera akibat tembakan di sekitar masjid di kawasan Wadi al-Kabir di ibu negara, Muscat, menurut polis.
Siasatan sedang dijalankan.
Kementerian Luar Pakistan di Islamabad mengesahkan dua daripada mangsa yang terbunuh adalah rakyatnya.
Jurucakap kementerian, Mumtaz Baloch, berkata 30 orang lagi cedera dalam apa yang beliau gelar sebagai "serangan pengganas" ke atas Imam Bargah di Oman.
"Ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa," kata Baloch, sambil menambah bahawa duta Pakistan Imran Ali, telah melawat warga Pakistan yang cedera di hospital.
Kedutaan itu sedang berhubung dengan pihak berkuasa Oman dan komuniti Pakistan, tambahnya.
Susulan insiden tembakan itu, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Muscat telah mengeluarkan amaran keselamatan yang menyatakan: "Warganegara AS harus berwaspada, memantau berita tempatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan."
-- BERNAMA