Dua warga New York jalankan operasi 'balai polis rahsia' China ditahan

Astro Awani
April 18, 2023 01:15 MYT
Pejabat Persatuan ChangLe AS yang disifatkan sebagai balai polis rahsia China di New York. - Foto REUTERS
NEW YORK: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan dua penduduk New York yang didakwa menjalankan operasi balai polis rahsia China di kawasan Chinatown, Manhattan.
Liu Jianwang, 61, dan Chen Jinping, 59, berdepan pelbagai dakwaan termasuk konspirasi bertindak sebagai agen kerajaan China serta menghalang keadilan.
Peguam Negeri New York, Breon Peace memaklumkan kedua-dua lelaki berulang kali mencabul kedaulatan negara tersebut.
Mereka menjalankan operasi balai polis mini China di New York.
"Dalam erti kata lain, balai polis ini digunakan untuk mengesan warga AS di negara ini. Kedua-dua defendan yang ditahan memusnahkan bukti komunikasi mereka dengan polis kebangsaan China, sebaik sahaja mereka mengetahui mengenai siasatan FBI.
"Defendan mempunyai sesuatu yang mahu dirahsiakan dan menghalang keadilan dengan mengelak FBI daripada mengetahui kegiatan mereka," katanya.
Siasatan sebelum in mendedahkan China menjalankan operasi rahsia menerusi balai polis China di 53 negara, termasuk di United Kingdom (UK) dan Belanda.
Kanada bulan lalu turut membuka siasatan berhubung kewujudan dua balai polis di Montreal.
China bagaimanapun menafikan menjalankan operasi stesen berkenaan.
#balai polis rahsia China #mencabul kedaulatan negara #Liu Jianwang #Chen Jinping