Dua warga emas maut nahas helikopter di Great Barrier Reef

Agensi
Mac 22, 2018 20:00 MYT
Kawasan terumbu karang di Great Barrier Reef menjadi tarikan popular untuk pelancong, termasuk yang menggunakan perkhidmatan helikopter untuk ke lokasi tertentu. - Gambar fail
Dua pelancong warga emas dari Amerika Syarikat (AS) maut dalam insiden helikopter terhempas di kawasan terumbu karang Great Barrier Reef, Australia, kata polis pada Khamis.
Lelaki berusia 79 tahun dan seorang wanita berusia 65 tahun itu terkorban ketika pengangkutan udara itu terhempas berdekatan platform terapung di lokasi tarikan popular, Airlie Beach, pada Rabu.
Dua lagi penumpang, juga dari AS, dan juruterbang hanya mengalami kecederaan ringan.
“Susulan insiden itu, perkhidmatan kecemasan telah digegaskan ke tempat kejadian sementara siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” ujar pegawai polis Ian Haughton kepada AFP.
Tiada sebarang petanda tentang punca nahas namun Haughton berkata siasatan akan menumpukan kepada aspek penyelenggaraan mekanikal helikopter itu, selain faktor penyebab lain di lokasi kejadian.
Ketika kejadian, beberapa saksi yang kebetulan berada di platform selaman berdekatan telah membantu menarik keluar penumpang dari dalam air.
Mangsa telah diberi bantuan pernafasan berdasarkan panduan daripada perkhidmatan kecemasan yang dihubungi menerusi sistem komunikasi, namun dua warga emas itu tidak dapat diselamatkan.
Lokasi nahas itu terletak sejauh sejam perjalanan dari pusat bantuan kecemasan.
Berikutan insiden itu, syarikat yang mengendalikan perkhidmatan helikopter itu telah menggantung semua operasinya.
#great barrier reef #nahas helikopter #pelancong #terumbu karang #warga amerika #warga emas
;