Dua tiang elektrik tumbang, bergelap lebih 24 jam, akibat besi dicuri

Astro Awani
Februari 6, 2018 22:02 MYT
Bekalan elektrik di Kota Sekayu di daerah Musi Banyuasin, Sumatera terputus selama lebih 24 jam pada Jumaat lalu. - Gambar hiasan
Dua tiang Saluran Udara Tegangan Ekstra Tinggi (SUTET) di daerah Musi Banyuasin, Sumatera, tumbang, susulan besinya dicuri, mengakibatkan bekalan elektrik ke kawasan itu terpadam lebih 24 jam pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, polis berjaya memberkas dua daripada lima individu selepas menerima laporan dari petugas Perusahaan Listrik Negara (PLN).
“Kami dapat tangkap dua individu sahaja kerana selebihnya berjaya melarikan diri,” kata Ketua Operasi Polis Daerah Musi Banyuasin, Kompol Erwin S Manik.
“Sebelum ini kami memang sudah curiga aktiviti mereka ini kerana mereka mempunyai sebuah pondok di sekitar sini dan kami menjumpai beberapa bukti,” beliau dipetik berkata Detiknews.
Dua suspek yang berjaya ditangkap ialah Ratna Dewi yang merupakan bekas pengutip sampah, dan Deni, orang kampung Lumpatan.
Mereka dibawa ke Pejabat Polis Daerah Musim Banyuasin untuk disoal siasat di bawah fasal 363. Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama tujuh tahun.
Erwin turut menjelaskan, hasil siasatan mendapati besi tiang SUTET telah dicuri sejak beberapa hari sebelumnya secara berperingkat.
Pencuri tersebut telah memotong lima tiang PLN menggunakan gergasi besi dan gerinda sebelum menjualnya ke kilang.
"Bahan bukti yang berjaya kita ambil adalah 305 potongan besi tiang elektrik, mesin gerinda, gergaji besi, skru-skru dan alat pengukur,” tambah Erwin.
Detiknews melaporkan, kejadian bekalan elektrik putus di Kota Sekayu selama lebih 24 jam itu turut berpunca dari tiga tiang lainnya yang mengalami kerosakan dan tidak diperbaiki dengan segera.
#305 potongan besi tiang elektrik #Deni #Indonesia #Kompol Erwin S Manik #Musi Banyuasin #Perusahaan Listrik Negara #PLN #Ratna Dewi #Saluran Udara Tegangan Ekstra Tinggi #Sumatera #SUTET
;