Dua terbunuh, puluhan cedera dalam nahas kereta api tergelincir di Rusia
Bernama
Jun 27, 2024 07:00 MYT
Jun 27, 2024 07:00 MYT
MOSCOW: Sekurang-kurangnya dua penumpang terbunuh dan puluhan cedera dalam kejadian kereta api tergelincir di utara Rusia, kata pengendali kereta api negara itu pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut pihak berkuasa, kemalangan itu berlaku pada Rabu malam di Republik Komi, Rusia, mengakibatkan sembilan daripada 14 gerabak tergelincir dan terbalik berhampiran Bandar Inta.
Russian Railways berkata dua mayat ditemukan di lokasi kemalangan dan seorang lagi masih hilang.
Sementara itu, agensi berita Interfax yang memetik maklumat diberikan perkhidmatan kecemasan, melaporkan bahawa sehingga 50 orang cedera, dengan beberapa orang parah.
Kira-kira 200 penumpang dan 20 kru berada di dalam kereta api itu pada masa kemalangan.
Punca kejadian dipercayai disebabkan oleh landasan yang terjejas selepas hujan lebat.
-- BERNAMA