Dua suspek bom Bangkok serah diri
Agensi
Ogos 20, 2015 23:16 MYT
Ogos 20, 2015 23:16 MYT
Dua lelaki yang dikenal pasti sebagai suspek insiden pengeboman di Bangkok Isnin lalu menyerah diri kepada pihak polis.
Pihak berkuasa memaklumkan kedua-duanya mempertahankan mereka bukan suspek serangan bom sebaliknya adalah pemandu pelancong.
"Kelibat mereka dikesan dalam rakaman kamera litar tertutup CCTV, sejurus sebelum letupan berlaku di Kuil Erawan, di persimpangan Ratchaprasong, '' kata jurucakap Ketua Polis Thailand, Kolonel Wintai Suvaree kepada Associated Press (AP).
Menurutnya, antara lain dalam rakaman itu, kedua-dua suspek, masing-masing memakai kemeja-T merah dan putih kelihatan bangun meninggalkan kerusi sebelum keluar dari kuil.
Suspek utama yang memakai kemeja-T kuning kemudian duduk di kerusi yang sama sebelum meninggalkan beg sandang yang dibawanya.
Kedua-dua mereka kini disoal siasat polis.
Serangan di Kuil Erawan, tengah Bangkok pada Isnin lepas mengorbankan 20 nyawa termasuk 5 warga Malaysia selain mencederakan puluhan yang lain.
Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-ocha menyifatkan serangan bom itu adalah paling buruk pernah berlaku dalam sejarah negara itu.
Sebelum ini Suvaree memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 10 suspek dipercayai terlibat dalam serangan bom tersebut dan mereka pasti ia didalangi warga asing.
"Kita boleh sahkan bahawa serangan tiada kaitan dengan pertubuhan pengganas antarabangsa, tetapi pelakunya adalah warga asing. Sebelum ini, kenyataan kemungkinan ada kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa adalah berdasarkan analisis awal oleh pasukan penyiasat. Bagaimanapun, kita akan teruskan siasatan mengenai perkara ini."
Dalam pada itu, Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpanmuang berkata, pihaknya percaya, perancangan serangan itu dibuat sekurang-kurangnya sebulan.
"Dengan kemusnahan yang begitu teruk dan angka korban begitu banyak, mustahil rancangan mengenainya dilakukan hanya oleh seorang individu atau tempoh yang singkat,'' kata beliau ketika satu sidang media di Bangkok bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung serangan berkenaan.