Dua sumber mineral baharu ditemui daripada meteorit di Somalia
Faida Rahim
Disember 1, 2022 10:00 MYT
Disember 1, 2022 10:00 MYT
MOGADISHU: Sekumpulan penyelidik di Kanada menemui dua mineral baharu selepas menganalisis serpihan meteorit seberat 15 tan yang jatuh di Somalia, Timur Afrika.
Meteorit itu, yang ditemui di Somalia pada 2020, merupakan yang kesembilan terbesar pernah direkod dengan lebar lebih 2 meter.
Memetik laporan The Guardian, penggembala unta di situ memaklumkan kewujudan batu angkasa itu telah lama diketahui penduduk tempatan selama beberapa generasi.
Mereka memanggilnya Nightfall dan kisah itu menjadi inspirasi lagu dan puisi Somalia.
Sementara itu, saintis Barat menggelar batu angkasa sebagai meteorit El Ali kerana ia ditemui berhampiran bandar El Ali di rantau Hiiraan.
Serpihan meteorit berasaskan besi seberat 70 gram itu kemudian dihantar ke koleksi meteorit Universiti Alberta untuk klasifikasi.
Profesor di Jabatan Sains Bumi dan Atmosfera Dr Chris Herd yang juga kurator koleksi meteorit berkata beliau menyifatkan mineral itu sebagai 'luar biasa'.
Untuk menyiasat lebih lanjut, Herd seterusnya meminta bantuan Ketua Makmal Mikroprobe Elektron Universiti Kanada, Andrew Locock.
“Pada hari pertama dia melakukan beberapa analisis, dia berkata, 'Anda telah mendedahkan sekurang-kurangnya dua mineral baharu'.
“Sangat luar biasa. Selalunya ia memerlukan lebih banyak usaha untuk mengisytiharkan mineral baharu,” kata Herd.
Menurutnya, mineral yang sama telah dicipta secara sintetik di makmal pada tahun 1980-an, tetapi tidak pernah direkod dalam alam semulajadi.
Tambahnya, kemunculan mineral baharu ini boleh membantu memahami bagaimana 'makmal alam semula jadi' berfungsi dan mungkin belum mengetahui kegunaannya di dunia nyata.
“Saya tidak pernah terfikir akan terlibat menjelaskan mineral baharu apabila meneliti meteorit.
“Itulah yang menjadikannya menarik. Kita ada dua mineral yang secara rasminya baharu kepada sains,” katanya.
Penemuan mineral pertama dari meteorit itu kemudiannya dinamakan "Elaliite," mengikut lokasi meteorit.
Manakala yang kedua, "elkinstantonite", dinamakan sempena Lindy Elkins-Tanton, penyiasat utama misi Psyche NASA, yang akan menghantar kapal angkasa ke asteroid yang kaya dengan logam.
Saintis Universiti Alberta mahu memeriksa sampel lain dari meteorit yang sama, tetapi Herd berkata terdapat laporan bahawa ia telah dipindahkan ke China.