Dua rakyat Malaysia ditahan bersama 20kg dadah di Palembang
Bernama
Oktober 8, 2016 08:54 MYT
Oktober 8, 2016 08:54 MYT
Polis menahan dua rakyat Malaysia dan merampas 20 kilogram dadah jenis syabu dalam serbuan ke sebuah rumah kedai di Bukit Kecil, Palembang di Sumatera Selatan semalam.
Media-media dalam talian hari ini memetik Ketua Polis Sumatera Selatan Djoko Prastowo sebagai berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis Markas Besar dari Jakarta dan Polis Sumatera Selatan mengekori kedua-dua lelaki terbabit dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang.
Katanya kedua-dua lelaki berumur 27 dan 22 tahun terbabit dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa dari Malaysia dan memasuki ke negara republik itu bagi tujuan pengedaran dadah.
Beliau berkata, setelah kedua-dua lelaki terbabit menginap di sebuah rumah kedai tidak jauh dari kota Palembang itu pada kira-kira pukul 10 pagi, polis terus membuat serbuan dan menahan mereka untuk membantu siasatan.
Djoko berkata kes itu diserahkan kepada Markas Besar Polis di Jakarta dan kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Jakarta bagi siasatan lanjut. -- BERNAMA