Dua rakyat Malaysia didakwa godam ratusan syarikat, organisasi
Agensi
September 16, 2020 06:23 MYT
September 16, 2020 06:23 MYT
Dua rakyat Malaysia bersama lima warga China didakwa Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat kerana menjalankan operasi penggodaman global terhadap ratusan syarikat dan organisasi di seluruh dunia.
Menurut dokumen mahkamah, dua suspek itu yang merupakan ahli perniagaan ditahan di Malaysia pada Isnin dan DoJ telah memohon proses ekstradisi, sementara tertuduh warga China masih bebas.
Memetik laporan New York Times, maklumat yang dicuri digunakan untuk tujuan memeras ugut serta dijual di pasaran gelap.
Kedua rakyat Malaysia dipercayai bekerjasama dengan lima penggodam itu untuk mencuri dan menyeleweng wang menerusi industri permainan video.
Antara taktik termasuk mencuri barang dalam permainan video (in-game) menerusi penggodaman yang kemudian dijual menerusi pasaran gelap.
“Dua tertuduh warga China bersama dua warga Malaysia dituduh menjual hasil godaman mereka di pasaran gelap menerusi laman web haram,” kata Timbalan Peguam Negara Jeffrey A. Rosen dalam sidang media pada Rabu.
Sementara tiga penggodam warga China lain menyasarkan pemaju aplikasi dan syarikat media sosial.
"Kerajaan China telah membenarkan rakyatnya melakukan pencerobohan dan serangan di serata dunia kerana mereka juga akan bantu Republik Rakyat China.”
NYTimes melaporkan penggodam, Zhang Haoran, Tan Dailin, Jiang Lizhi, Qian Chuan dan Fu Qiang menyasarkan syarikat teknologi dan media sosial, universiti, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, menurut pendakwaan.
Aktiviti jenayah siber itu dikesan menggunakan nama kumpulan Advanced Persistent Threat 41, Barium, Winnti, Wicked Panda dan Panda Spider.
Syarikat teknologi mega termasuk Verizon, Microsoft, Facebook dan Alphabet turut membantu kerajaan dalam siasatan kes tersebut.
#Amerika Syarikat
#China
#godam
#India
#kerajaan
#mahkamah
#Malaysia
#operasi
#politik
#rakyat
#rakyat Malaysia
#teknologi
#video
#Vietnam