Dua pesawat Air France berubah haluan susulan ancaman keselamatan
AFP
November 18, 2015 12:42 MYT
November 18, 2015 12:42 MYT
Dua pesawat Air France dari Amerika Syarikat yang sedang dalam perjalanan menuju ke Paris terpaksa mengubah haluannya berikutan ancaman keselamatan yang diterimanya, hari ini.
CNN melaporkan sebuah pesawat diubah haluan ke Salt Lake City, Utah sejurus berlepas dari Los Angeles, manakala pesawat kedua berlepas dari Washington dan mengubah haluan ke Halifax, Kanada.
Kedua-dua pesawat, penerbangan 65 dari Los Angeles dan penerbangan 55 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, Virginia, berjaya mendarat dengan selamat.
Seorang jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat mengesahkan kejadian.
Kejadian berlaku di tengah tengah kebimbangan kemungkinan serangan pengganas susulan insiden serangan yang meragut 129 nyawa dan mencederakan lebih 350 yang lain di Paris pada Jumaat.