Dua penyerang bunuh diri letupkan diri di hadapan bangunan kerajaan
Astro Awani
Oktober 2, 2023 08:50 MYT
Oktober 2, 2023 08:50 MYT
ANKARA: Dua penyerang meletupkan bom di hadapan bangunan kerajaan Turki di Ankara pada Ahad.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua penyerang maut dan dua pegawai polis cedera.
Kumpulan miltan Kurdish mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Pihak berkuasa menyebutnya serangan pengganas pertama di ibu negara dalam beberapa tahun.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kenderaan berhenti di pintu pagar utama Kementerian Dalam Negeri.
Penyerang itu kemudian dengan pantas keluar dari kereta ke arah bangunan itu sebelum meletupkan bom manakala seorang lagi kekal di jalan.
Susulan letupan itu, pihak berkuasa sempat menembak seorang lagi penyerang sehingga maut.
Dalam ucapan pada pembukaan sidang Parlimen baharu beberapa jam kemudian, Presiden Recep Tayyip Erdogan menggelar serangan pagi itu sebagai "percubaan terbaharu" untuk menimbulkan keganasan ke atas orang Turki.
Laman web ANF News, yang dekat dengan kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) berkata, kumpulan yang dipanggil 'Batalion Abadi' telah melakukan serangan itu.
Kenyataan itu menggambarkan pengeboman itu sebagai 'serangan bunuh diri' yang dirancang bertepatan dengan pembukaan Parlimen.
PKK ditetapkan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Ia melancarkan pemberontakan di tenggara Turki pada 1984 dan lebih 40,000 orang terbunuh dalam konflik itu.