Dua peniaga durian mati ditembak kumpulan bersenjata di Yala

Bernama
Ogos 22, 2024 14:32 MYT
Rakaman CCTV menunjukkan bahawa kumpulan itu bertindak menghampiri mangsa dengan berjalan kaki sebelum melepaskan tembakan. - Gambar hiasan
YALA (Selatan Thailand): Dua peniaga durian maut ditembak oleh kumpulan bersenjata dalam satu kejadian di Yala, wilayah selatan Thailand malam tadi.
Ketua Polis Bannang Sata, Kolonel Ranon Surawit berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.21 malam waktu tempatan, berhampiran tanah perkuburan Kampung Sai Keaw, daerah Bannang Sata.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis mendapati dua lelaki tertiarap di gerai mereka. Hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bahawa mangsa diserang oleh kumpulan bersenjata," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Ranon berkata rakaman CCTV menunjukkan bahawa kumpulan itu bertindak menghampiri mangsa dengan berjalan kaki sebelum melepaskan tembakan.
"Mangsa pertama yang berusia 55 tahun berasal dari Chanthaburi, wilayah timur Thailand manakala mangsa kedua, 67, merupakan penduduk tempatan Yala," katanya.
Beliau berkata polis kini sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti motif serangan.
-- BERNAMA
#peniaga durian maut ditembak #kumpulan bersenjata #yala #Thailand #Ranon Surawit