Dua pemimpin Israel tidak sehaluan dalam isu rampasan wilayah Tebing Barat

Astro Awani
Jun 29, 2020 06:21 MYT
Kenyataan Netantahu (gambar) dan Gantz memperlihatkan ketegangan semakin meningkat hanya beberapa minggu setelah kerajaan gabungan mengangkat sumpah. -Gambar fail
Dua pemimpin tertinggi Israel kelihatan tidak sependapat mengenai tempoh masa rancangan merampas beberapa bahagian Tebing Barat milik Palestin.
Dalam pertemuan parti Biru dan Putih, Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz berkata keutamaannya adalah membantu negara itu mengatasi krisis kesihatan dan ekonomi berpunca dari COVID-19.
Katanya, perkara lain yang tiada kaitan dengan perang melawan COVID-19 harus ditangguhkan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata beliau mahu merampas wilayah Tebing Barat bermula 1 Julai seperti yang dirancang Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Wakil Trump, Avi Berkowitz berada di Baitulmaqdis minggu ini untuk bekerjasama dengan para pegawai Israel dalam mengatur bahagian wilayah mana di Tebing Barat yang boleh dirampas Israel.
Pegawai AS berkata mereka mahu rancangan itu mendapat sokongan dua parti utama Israel Netanyahu dengan parti Likud dan Gantz dengan parti Biru dan Putih.
Kenyataan oleh Netantahu dan Gantz memperlihatkan ketegangan semakin meningkat hanya beberapa minggu setelah kerajaan gabungan mereka mengangkat sumpah.
Perkara itu juga menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan rancangan rampasan Tebing Barat oleh Netanyahu.
Dalam pada itu, Netanyahu menolak kenyataan Gantz dengan menyatakan kepada parti pimpinannya bahawa dia bekerja secara bijaksana dengan AS dan rancangan itu tidak bergantung kepada parti Biru dan Putih.
Di bawah perjanjian gabungan mereka, Netanyahu dan Gantz memegang kuasa veto bersama dalam kebanyakan keputusan kerajaan.
Namun kesepakatan itu membuat pengecualian mengenai rancangan rampasan Tebing Barat yang membolehkan Netanyahu mengemukakan cadangan kepada Kabinet atau Parlimen tanpa persetujuan Gantz.
Rancangan rampasan Tebing Barat mendapat tentangan daripada rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa.
#Avi Berkowitz #Baitulmaqdis #Benjamin Netanyahu #Benny Gantz #COVID-19 #Donald Trump #koronavirus #rampas Tebing Barat
;