Dua pembunuh termuda di UK dipenjara seumur hidup, bunuh mangsa dengan parang

Bernama
September 27, 2024 21:56 MYT
Dua pembunuh itu membunuh mangsa dengan ditikam di jantung dan mengalami patah tengkorak di padang permainan Stowlawn, Wolverhampton. - Gambar hiasan/Bernama
LONDON: Dua pembunuh termuda Britain, yang membunuh mangsa menggunakan parang ketika mereka baru berusia 12 tahun, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum lapan setengah tahun, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pembunuh, kedua-duanya dari Wolverhampton, disabitkan pada Jun kerana membunuh Shawn Seesahai, 19 tahun, yang ditikam di jantung dan mengalami patah tengkorak di padang permainan Stowlawn di bandar itu pada 13 November tahun lepas.
Mereka digambarkan di Mahkamah Nottingham Crown pada Khamis sebagai "pembunuh bersenjata termuda" dan dipercayai sebagai defendan termuda yang disabitkan kesalahan membunuh di UK sejak Robert Thompson dan Jon Venables, kedua-duanya berusia 11 tahun, didapati bersalah pada 1993 kerana membunuh James Bulger yang berusia 2 tahun.
Pembunuh Seesahai, kedua-duanya kini berusia 13 tahun, tidak boleh dinamakan kerana perintah ketanpanamaan atau anonymity.
Kedua-dua remaja itu dibenarkan meninggalkan dok dan duduk di barisan belakang bangku mahkamah pada Jumaat ketika Hakim Mahkamah Tinggi Tipples menyampaikan keputusannya dengan mengakui hukuman yang dijatuhkan tidak akan membawa sebarang kelegaan kepada keluarga mangsa.
Hakim memberitahu budak lelaki itu: "Apabila kamu membunuh Shawn dia berumur 19 tahun, baru memulakan zaman dewasanya dengan segala yang hendak dikecapi.
"Ibunya telah kehilangan anak lelaki. Adik perempuannya telah kehilangan abangnya.
"Apa yang kamu lakukan adalah mengerikan dan mengejutkan. Kamu tidak mengenali Shawn, dia adalah orang asing bagi kamu. Kamu berdua membunuh Shawn dalam serangan yang berlangsung kurang daripada satu minit apabila dia meminta kamu berpindah (dari bangku).
"Saya pasti kamu berniat untuk membunuhnya."
Hakim menambah bahawa dia tidak pasti yang mana antara budak lelaki itu telah menyebabkan luka sedalam 23 sentimeter yang hampir menembusi badan Seesahai.
Dalam kenyataan impak mangsa yang dibacakan pada pendengaran hukuman, keluarga Seesahai berkata mereka dihantui oleh pemikiran betapa takutnya mangsa apabila dia dibunuh.
Saudara-mara Seesahai yang dilahirkan di Anguillan menyifatkan pembunuhannya sebagai tragis, tidak dijangka dan tidak masuk akal dan dilakukan "tanpa sebab sama sekali."
Kedua-dua budak lelaki menyalahkan satu sama lain kerana menyebabkan mangsa mengalami empat luka dengan parang, selepas bertengkar dengan mangsa tentang duduk di bangku taman.
Seorang daripada budak lelaki itu mengaku memiliki senjata itu sebelum perbicaraan, manakala seorang lagi didapati bersalah atas pertuduhan yang sama apabila mereka berdua sebulat suara disabitkan kesalahan membunuh pada 10 Jun.
-- BERNAMA
#pembunuh #parang #tikam #Britain #hukuman penjara
;