Dua pekerja Thailand terbunuh, 8 cedera dalam serangan di selatan Israel

Bernama
Mei 18, 2021 05:18 MYT
Tentera Israel di sempadan menembak ke arah sasaran di Semenanjung Gaza, 18 Mei 2021. (Foto AP)
BANGKOK: Dua pekerja Thailand terbunuh manakala lapan yang lain cedera berikutan serangan roket di Wilayah Eshkol di selatan Israel pada Selasa.
Jurucakap Kementerian Luar Tanee Sangrat berkata dua pekerja Thailand cedera parah dalam serangan di Ohad, sebuah penempatan pertanian di Eshkol, kira-kira 14 km dari Gaza.
Beliau berkata para pekerja berada di sebuah bilik yang digunakan untuk menyimpan hasil pertanian.
"Kedutaan Besar Diraja Thailand di Tel Aviv sedang berhubung dengan pihak berkuasa Israel untuk mendapatkan nama dan identiti pekerja Thailand yang terbunuh dan cedera," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah kedutaan sedang mengambil langkah yang diperlukan untuk memberi bantuan kepada pekerja Thailand yang cedera.
Sehingga kini, terdapat kira-kira 25,000 warga Thai di Israel.
AFP melaporkan kedua-dua pekerja itu terbunuh oleh bedilan roket dari Gaza, menambah jumlah kematian di Israel kepada 12 orang sejak konflik itu meletus.
Minggu lalu, seorang warga Thailand cedera akibat tembakan roket dari Gaza, lapor media Thailand.
Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada bulan Ramadan, merebak ke Gaza setelah para pejuang Palestin di sana berjanji akan membalas serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah jika serangan mereka tidak dihentikan.
-- BERNAMA
#Pekerja #Thailand #maut #cedera #serangan #Israel #Tanee Sangrat #Kementerian Luar #Ohad #Eshkol #Gaza #Tel Aviv #Kedutaan Besar Diraja Thailand #bantuan #roket
;