Dua pegawai penjara terbunuh, banduan terlepas dalam serangan hendap

Astro Awani
Mei 14, 2024 07:30 MYT
Rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah van penjara di plaza tol. - Foto REUTERS
PARIS: Dua pegawai penjara terbunuh dalam satu serangan hendap ke atas van penjara yang membawa seorang tertuduh berdekatan Rouen di Normandy, Perancis, pada Selasa.
Ketika kejadian, Mohamed Amra, atau lebih dikenali sebagai 'The Fly', sedang dibawa dari mahkamah ke penjara apabila sebuah kereta merempuh van berkenaan di plaza tol kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.
Beberapa lelaki bersenjata kemudian melepaskan tembakan ke arah pengawai penjara menyebabkan dua terbunuh manakala dua lagi cedera parah.
Ratusan anggota polis telah dikerah bagi mengesan suspek dan tertuduh.
Presiden Perancis Emmanuel Macron dalam catatan terbaharu di platform media sosial X memaklumkan "segalanya sedang dilakukan bagi mengesan kesemua mereka yang terlibat".
Pihak pendakwa raya mengesahkan tertuduh yang berjaya melarikan diri sebagai Mohamed Amra, yang dilahirkan pada tahun 1994.
Amra didakwa atas kesalahan pecah rumah pada 10 Mei lalu dan juga didapati bersalah terlibat dalam satu kes penculikan di Marseille yang menyebabkan kematian.
Tertuduh berusia 30 tahun itu dikatakan ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap di Marseille.
#serangan hendap #van penjara #Mohamed Amra #Emmanuel Macron
;