Dua parti pembangkang setuju bentuk Kerajaan selepas menang PRU Thailand
Agensi
Mei 15, 2023 17:27 MYT
Mei 15, 2023 17:27 MYT
BANGKOK: Dua parti pembangkang utama Thailand bersetuju untuk membentuk gabungan pemerintahan setelah menewaskan parti disokong tentera yang menerajui Thailand selama hampir sedekad.
Parti progresif Move Forward (MFP) dan Pheu Thai dari blok pembangkang utama mendominasi undian pada Ahad dalam kemenangan mengejutkan terhadap parti protentera.
Namun begitu, kedua parti ini mungkin berkemungkinan menghadapi cabaran dalam mengumpul sokongan yang mencukupi dengan peraturan parlimen yang dirangka oleh tentera selepas kudeta pada tahun 2014.
Dalam pada itu, kerjasama dua parti ini perlu memastikan usaha membentuk kerajaan baharu tidak diganggu Senat yang dilantik tentera di bawah Perlembagaan 2017.
Ini kerana mereka memiliki hak mengundi Perdana Menteri dalam sidang dua dewan anggota legislatif seramai 750 orang serta memiliki rekod memihak kepada parti-parti konservatif yang dipimpin Jeneral.
Pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat mencadangkan kerjasama gabungan enam buah parti yang akan mewakili 309 kerusi dan peranan beliau sebagai Perdana Menteri dan memerlukan 376 kerusi lagi untuk memastikan beliau terpilih sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Pheu Thai yang diasaskan oleh jutawan yang juga bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra memaklumkan bersetuju dengan cadangan Pita serta menzahirkan ucapan maju jaya dalam usaha bergelar Perdana Menteri.
Terdahulu, parti ini pernah memenangi majoriti kerusi dalam setiap pilihan raya termasuk dua kali dengan majoriti yang besar namun menghadapi saingan daripada Parti Move Forward ketika hampir menguasai ibu negara Bangkok.
Pilihan Raya Umum berlangsung selepas siri protes mega prodemokrasi melanda ibu kota Bangkok pada 2020 yang menggesa pengunduran segera Prayut dan menuntut reformasi monarki.