Dua mayat reput ditemui di bilik mandi
Agensi
September 7, 2023 00:14 MYT
September 7, 2023 00:14 MYT
JAKARTA: Dua mayat reput tinggal tulang dilaporkan ditemui di bilik mandi di sebuah rumah di kawasan Cinere, Depok, Jakarta pada Khamis.
Memetik CNN Indonesia, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Depok Iptu Made Budi memaklumkan penemuan mayat yang disyaki ibu dan anak itu hasil aduan penduduk selepas mendapati mereka tidak keluar rumah sejak sebulan lalu.
Menurut Made, pengawal keselamatan di kawasan perumahan, Jafar kemudian datang memeriksa rumah berkenaan dan mula menghidu bau busuk dari dalam.
“Pengawal keselamatan kemudian menghubungi balai polis Cinere dan selepas pemeriksaan dibuat di tempat kejadian menemui dua mayat lelaki dan seorang wanita yang disyaki penghuni rumah bernombor 39 di kompleks perumahan BCI,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Made, kedua-dua mayat yang ditemui di dalam bilik mandi tidak berkunci itu memakai pakaian.
“Namun begitu, mayat mereka tidak lagi dapat dikenal pasti kerana tinggal tulang. Dianggarkan mereka sudah lama meninggal dunia dan punca kematiannya tidak diketahui,” katanya.
Tambahan pula, berdasarkan maklumat awal penduduk di sekitar lokasi kejadian, Made memberitahu mangsa yang tinggal bersendirian itu juga tidak bercampur dengan penduduk setempat.
Selain itu, keadaan rumah yang diduduki kedua-dua mangsa juga dianggap tidak diselenggara dan sebahagiannya juga telah runtuh.
“Di atas meja dapur, terdapat sekeping kertas bertulis huruf S dan Puan KH beserta nombor telefon,” katanya.