Dua maut serangan pisau di Paris
Reuters
Mei 12, 2018 06:11 MYT
Mei 12, 2018 06:11 MYT
Seorang maut manakala lima lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau melakukan serangan di Paris, menurut polis Perancis.
Motif kejadian pada Sabtu itu, yang turut menyaksikan penyerangnya ditembak mati, masih disiasat polis.
"Seorang lelaki menyerang lima orang di daerah kedua Paris. Ini memaksa pihak polis untuk ambil tindakan dengan segera.
"Penyerang tersebut ditembak mati oleh polis manakala mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami," kata pegawai kanan polis Paris, Pierre Gaudin.
Beberapa saksi berkata, kejadian menyebabkan orang ramai menjadi cemas dan ramai di antara mereka cuba menyembunyikan diri dalam restauran dan kafe berdekatan.
Mereka turut menyebut anggota polis cuba menggunakan senjata renjat terhadap penyerang tersebut namun kemudian melepaskan dua das tembakan.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerard Collomb mengutuk serangan tersebut dan memuji pihak polis atas tindakan pantas mereka.
Pihak polis turut memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan khabar angin mengenai insiden tersebut.
Negara itu kini berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan beberapa serangan yang dirancang oleh kumpulan militan Daish dalam masa tiga tahun lepas.
Serangan tersebut telah mengorbankan puluhan nyawa di seluruh negara.