Dua maut, lima cedera dalam kejadian tembakan di majlis graduasi sekolah

Astro Awani
Jun 7, 2023 10:10 MYT
Pasukan penguatkuasa menjalankan siasatan di lokasi kejadian susulan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah taman ketika majlis graduasi sekolah baru sahaja berakhir di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat, 6 Jun 2023. REUTERS
DUA mangsa maut sementara lima lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah taman di Richmond, Virginia, pada Selasa.
Ketika kejadian, para pelajar sebuah sekolah menengah beserta keluarga mereka sedang keluar dari sebuah teater di mana majlis graduasi baru sahaja berakhir.
Menurut polis, seorang suspek berusia 19 tahun ditahan dan polis merancang untuk mendakwanya atas dua pertuduhan bunuh, selain kemungkinan kesalahan lain.
Pemangku Ketua Polis Richmond, Rick Edwards berkata, kejadian berlaku di luar Teater Altria di kampus Virginia Commonwealth University, di mana majlis graduasi tersebut berlangsung.
Katanya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia adalah lelaki berusia 18 dan 36 tahun.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan hubungan antara keduanya.
Mangsa yang cedera ialah seorang lelaki berusia 31 tahun yang dalam keadaan parah, sementara empat yang lain cedera ringan, berusia antara 14 dan 58 tahun.
Selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dilanggar sebuah kereta dalam keadaan kekecohan yang berlaku dan beberapa orang lain cedera akibat terjatuh atau panik, kata Edwards.
#tembakan #Virginia #majlis graduasi sekolah #Virginia Commonwealth University
;