Dua maut, enam cedera termasuk anggota polis kejadian tembakan di Auckland

Astro Awani
Julai 19, 2023 07:00 MYT
Kereta peronda polis dilihat berhampiran yang kawasan berlaku kejadian tembakan di Auckland, New Zealand. - Foto REUTERS
AUCKLAND: Sekurang-kurangnya dua maut manakala enam lagi cedera dalam kejadian tembakan di pusat bandar Auckland, New Zealand pada Khamis.
Polis mengesahkan suspek yang melepaskan tembakan antara yang maut dalam kejadian.
Insiden berkenaan berlaku di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Lower Queen Street dan seorang pegawai polis antara yang cedera.
"Suspek melepaskan tembakan ke arah polis ketika berada dalam bangunan tersebut," kata polis dalam satu kenyataan.
Polis turut menggesa orang ramai untuk mengelak kawasan itu atau tidak keluar dari kawasan dan bangunan masing-masing.
Kejadian berlaku ketika banyak pasukan bola sepak sedang berkumpul di New Zealand bagi menghadiri Piala Dunia Wanita FIFA.
Kenyataan dari pasukan kebangsaan Norway berkata, insiden itu berlaku berhampiran dengan hotel yang didiami mereka dan skuad berkenaan "tidak terjejas" serta melakukan persediaan seperti biasa.
#tembakan #bangunan dalam pembinaan #Piala Dunia Wanita FIFA #suspek
;