Dua maut, empat cedera dalam tembakan dan letupan di Yala

Bernama
Julai 3, 2019 19:26 MYT
Pihak polis sedang menjejaki pihak yang terlibat dalam serangan ini dan setakat ini belum ada pihak tampil melakukan serangan itu.
Dua maut dan empat lagi cedera termasuk orang awam dalam serangan bom dan tembakan di Yala, selatan Thailand hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi (waktu tempatan) pada Rabu, pihak polis menerima laporan dua orang awam yang memburu di sebuah ladang getah di Kg Hujung Sungai ditembak individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Yala Kol. Pol. Siwach Siwichai berkata Pisit Chaisit, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Thanawut Khemkratok, 38, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Yala.
"Selepas kejadian tembak di ladang getah, sepasukan renjer menaiki kenderaan anti peluru digerakkan untuk membuat pemeriksaan di lokasi kejadian. Ketika mereka turun dari kenderaan menuju ke lokasi kejadian, dua butir bom buatan sendiri diletupkan.
"Seorang renjer maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Siwach berkata pihak polis sedang menjejaki pihak yang terlibat dalam serangan ini dan setakat ini belum ada pihak tampil melakukan serangan itu.
-- BERNAMA
#bom #jenayah #mangsa tembak #orang awam terbunuh #polis thailand #selatan thailand #serangan pengganas #yala
;